Ratib Al-Haddad ini mengambil nama dari nama penyusunnya, yaitu Imam
Abdullah bin Alawi Al-Haddad, seorang pembaharu Islam (mujaddid) yang
terkenal. Daripada doa-doa dan zikir-zikir karangan beliau, Ratib
Al-Haddad lah yang paling terkenal dan masyhur. Ratib yang bergelar
Al-Ratib Al-Syahir (Ratib Yang Termasyhur) disusun berdasarkan
inspirasi, pada malam Lailatul Qadar 27 Ramadhan 1071 Hijriyah
(bersamaan 26 Mei 1661).
Ratib ini disusun bagi menunaikan permintaan salah seorang murid
beliau, ‘Amir dari keluarga Bani Sa’d yang tinggal di sebuah kampung di
Shibam, Hadhramaut. Tujuan ‘Amir membuat permintaan tersebut ialah untuk
membentengi dengan suatu wirid dan zikir untuk amalan penduduk
kampungnya agar mereka dapat mempertahan dan menyelamatkan diri daripada
ajaran sesat yang sedang melanda Hadhramaut ketika itu.
Pertama kalinya Ratib ini dibaca ialah di kampung ‘Amir sendiri,
yaitu di kota Shibam setelah mendapat izin dan ijazah daripada Al-Imam
Abdullah Al-Haddad sendiri. Selepas itu Ratib ini dibaca di Mesjid
Al-Imam Al-Haddad di Al-Hawi, Tarim dalam tahun 1072 Hijriah bersamaan
tahun 1661 Masehi. Pada kebiasaannya ratib ini dibaca berjamaah bersama
doa dan nafalnya, setelah solat Isya’. Pada bulan Ramadhan ia dibaca
sebelum solat Isya’ bagi mengelakkan kesempitan waktu untuk menunaikan
solat Tarawih. Mengikut Imam Al-Haddad di kawasan-kawasan di mana Ratib
al-Haddad ini diamalkan, dengan izin Allah kawasan-kawasan tersebut
selamat dipertahankan daripada pengaruh sesat tersebut.
Apabila Imam Al-Haddad berangkat menunaikan ibadah Haji, Ratib
Al-Haddad pun mula dibaca di Makkah dan Madinah. Sehingga hari ini Ratib
berkenaan dibaca setiap malam di Bab al-Safa di Makkah dan Bab
al-Rahmah di Madinah. Habib Ahmad bin Zein Al-Habsyi pernah menyatakan
bahawa sesiapa yang membaca Ratib Al-Haddad dengan penuh keyakinan dan
iman dengan terus membaca “ La ilaha illallah” hingga seratus kali
(walaupun pada kebiasaannya dibaca lima puluh kali), ia mungkin
dikurniakan dengan pengalaman yang di luar dugaannya.
Beberapa perbedaan boleh didapati di dalam beberapa cetakan ratib
Haddad ini terutama selepas Fatihah yang terakhir. Beberapa doa ditambah
oleh pembacanya. Al Marhum Al-Habib Ahmad Masyhur bin Taha Al-Haddad
memberi ijazah untuk membaca Ratib ini dan menyarankannya dibaca pada
masa–masa yang lain daripada yang tersebut di atas juga di masa
keperluan dan kesulitan. Mudah-mudahan barangsiapa yang membaca ratib
ini diselamatkan Allah daripada bahaya dan kesusahan. Amin.
Ketahuilah bahawa setiap ayat, doa, dan nama Allah yang disebutkan di
dalam ratib ini telah dipetik daripada Al-Quran dan hadith Rasulullah
S.A.W. Terjemahan yang dibuat di dalam ratib ini, adalah secara
ringkas. Bilangan bacaan setiap doa dibuat sebanyak tiga kali, kerana ia
adalah bilangan ganjil (witir). Ini ialah berdasarkan saranan Imam
Al-Haddad sendiri. Beliau menyusun zikir-zikir yang pendek yang dibaca
berulang kali, dan dengan itu memudahkan pembacanya. Zikir yang pendek
ini, jika dibuat selalu secara istiqamah, adalah lebih baik daripada
zikir panjang yang dibuat secara berkala atau cuai[1]. Ratib ini berbeza
daripada ratib-ratib yang lain susunan Imam Al-Haddad kerana ratib
Al-Haddad ini disusun untuk dibaca lazimnya oleh kumpulan atau jamaah.
Semoga usaha kami ini diberkahi Allah.
Keutamaan Ratib Hadad.
Cerita-cerita yang dikumpulkan mengenai kelebihan RatibAl-Haddad
banyak tercatat dalam buku Syarah Ratib Al-Haddad, antaranya: Telah
berkata Habib Abu Bakar bin Abdullah Al-Jufri yang bertempat tinggal di
Seiwun (Hadhramaut): “Pada suatu masa kami serombongan sedang menuju ke
Makkah untuk menunaikan Haji, bahtera kami terkandas tidak dapat
meneruskan perjalanannya kerana tidak ada angin yang menolaknya. Maka
kami berlabuh di sebuah pantai, lalu kami isikan gerbah-gerbah (tempat
isi air terbuat dari kulit) kami dengan air, dan kami pun berangkat
berjalan kaki siang dan malam, kerana kami bimbang akan ketinggalan
Haji. Di suatu perhentian, kami cuba meminum air dalam gerbah itu dan
kami dapati airnya payau dan masin, lalu kami buangkan air itu. Kami
duduk tidak tahu apa yang mesti hendak dibuat. Maka saya anjurkan
rombongan kami itu untuk membaca Ratib Haddad ini, mudah-mudahan Allah
akan memberikan kelapangan dari perkara yang kami hadapi itu. Belum
sempat kami habis membacanya, tiba-tiba kami lihat dari kejauhan
sekumpulan orang yang sedang menunggang unta menuju ke tempat kami, kami
bergembira sekali. Tetapi ketika mereka mendekati kami, kami dapati
mereka itu perompak-perompak yang kerap merampas harta-benda orang yang
lalu-lalang di situ. Namun rupanya Allah Ta’ala telah melembutkan hati
mereka bila mereka dapati kami terkandas di situ, lalu mereka memberi
kami minum dan mengajak kami menunggang unta mereka untuk disampaikan
kami ke tempat sekumpulan kaum Syarif* tanpa diganggu kami sama sekali,
dan dari situ kami pun berangkat lagi menuju ke Haji, syukurlah atas
bantuan Alloh SWT karena berkat membaca Ratib ini.
Cerita ini pula diberitakan oleh seorang yang mencintai keturunan
Sayyid, katanya: “Sekali peristiwa saya berangkat dari negeri Ahsa’i
menuju ke Hufuf. Di perjalanan itu saya terlihat kaum Badwi yang
biasanya merampas hak orang yang melintasi perjalanan itu. Saya pun
berhenti dan duduk, di mana tempat itu pula saya gariskan tanahnya
mengelilingiku dan saya duduk di tengah-tengahnya membaca Ratib ini.
Dengan kuasa Alloh mereka telah berlalu di hadapanku seperti orang yang
tidak menampakku, sedang aku memandang mereka.” Begitu juga pernah
berlaku semacam itu kepada seorang alim yang mulia, namanya Hasan bin
Harun ketika dia keluar bersama-sama teman-temannya dari negerinya di
sudut Oman menuju ke Hadhramaut. Di perjalanan mereka dibajak oleh
gerombolan perompak, maka dia menyuruh orang-orang yang bersama-samanya
membaca Ratib ini. Alhamdulillah, gerombolan perompak itu tidak
mengapa-apakan siapapun, malah mereka berlalu dengan tidak mengganggu.
Apa yang diberitakan oleh seorang Arif Billah Abdul Wahid bin Subait
Az-Zarafi, katanya: Ada seorang penguasa yang ganas yang dikenal dengan
nama Tahmas yang juga dikenal dengan nama Nadir Syah. Tahmas ini adalah
seorang penguasa ajam yang telah menguasai banyak dari negeri-negeri di
sekitarannya. Dia telah menyediakan tentaranya untuk memerangi negeri
Aughan. Sultan Aughan yang bernama Sulaiman mengutus orang kepada Imam
Habib Abdullah Haddad memberitahunya, bahwa Tahmas sedang menyiapkan
tentera untuk menyerangnya. Maka Habib Abdullah Haddad mengirim Ratib
ini dan menyuruh Sultan Sulaiman dan rakyatnya membacanya. Sultan
Sulaiman pun mengamalkan bacaan Ratib ini dan memerintahkan tenteranya
dan sekalian rakyatnya untuk membaca Ratib i ini dengan bertitah: “Kita
tidak akan dapat dikuasai Tahmas kerana kita ada benteng yang kuat,
iaitu Ratib Haddad ini.” Benarlah apa yang dikatakan Sultan Sulaiman
itu, bahwa negerinya terlepas dari penyerangan Tahmas dan terselamat
dari angkara penguasa yang ganas itu dengan sebab berkat Ratib Haddad
ini.
Saudara penulis Syarah Ratib Al-Haddad ini yang bernama Abdullah bin
Ahmad juga pernah mengalami peristiwa yang sama, yaitu ketika dia
berangkat dari negeri Syiher menuju ke bandar Syugrah dengan kapal,
tiba-tiba angin macet tiada bertiup lagi, lalu kapal itu pun terkandas
tidak bergerak lagi. Agak lama kami menunggu namun tidak berhasil juga.
Maka saya mengajak rekan-rekan membaca Ratib ini , maka tidak berapa
lama datang angin membawa kapal kami ke tujuannya dengan selamat dengan
berkah membaca Ratib ini.
Suatu pengalaman lagi dari Sayyid Awadh Barakat Asy-Syathiri Ba’alawi
ketika dia belayar dengan kapal, lalu kapal itu telah tersesat jalan
sehingga membawanya terkandas di pinggir sebuah batu karang. Ketika itu
angin juga macet tidak dapat menggerakkan kapal itu keluar dari
bahayanya. Kami sekalian merasa bimbang, lalu kami membaca Ratib ini
dengan niat Alloh akan menyelamatkan kami. Maka dengan kuasa Alloh SWT
datanglah angin dan menarik kami keluar dari tempat itu menuju ke tempat
tujuan kami. Maka kerana itu saya amalkan membaca Ratib ini. Pada suatu
malam saya tertidur sebelum membacanya, lalu saya bermimpi Habib
Abdullah Haddad datang mengingatkanku supaya membaca Ratib ini, dan saya
pun tersadar dari tidur dan terus membaca Ratib Haddad itu.
Di antaranya lagi apa yang diceritakan oleh Syeikh Allamah Sufi murid
Ahmad Asy-Syajjar, iaitu Muhammad bin Rumi Al-Hijazi, dia berkata:
“Saya bermimpi seolah-olah saya berada di hadapan Habib Abdullah Haddad,
penyusun Ratib ini. Tiba-tiba datang seorang lelaki memohon sesuatu
daripada Habib Abdullah Haddad, maka dia telah memberiku semacam rantai
dan sayapun memberikannya kepada orang itu. Pada hari besoknya, datang
kepadaku seorang lelaki dan meminta daripadaku ijazah (kebenaran guru)
untuk membaca Ratib Haddad ini, sebagaimana yang diijazahkan kepadaku
oleh guruku Ahmad Asy-Syajjar. Aku pun memberitahu orang itu tentang
mimpiku semalam, yakni ketika saya berada di majlis Habib Abdullah
Haddad, lalu ada seorang yang datang kepadanya. Kalau begitu, kataku,
engkaulah orang itu.” Dari kebiasaan Syeikh Al-Hijazi ini, dia selalu
membaca Ratib Haddad ketika saat ketakutan baik di siang hari mahupun
malamnya, dan memang jika dapat dibaca pada kedua-dua masa itulah yang
paling utama, sebagaimana yang dipesan oleh penyusun Ratib ini sendiri.
Ada seorang dari kota Quds (Syam) sesudah dihayatinya sendiri tentang
banyak kelebihan membaca Ratib ini, dia lalu membuat suatu ruang di
sudut rumahnya yang dinamakan Tempat Baca Ratib, di mana dikumpulkan
orang untuk mengamalkan bacaan Ratib ini di situ pada waktu siang dan
malam.
Di antaranya lagi, apa yang diberitakan oleh Sayyid Ali bin Hassan,
penduduk Mirbath, katanya: “Sekali peristiwa aku tertidur sebelum aku
membaca Ratib, aku lalu bermimpi datang kepadaku seorang Malaikat
mengatakan kepadaku: “Setiap malam kami para Malaikat berkhidmat buatmu
begini dan begitu dari bermacam-macam kebaikan, tetapi pada malam ini
kami tidak membuat apa-apa pun karena engkau tidak membaca Ratib. Aku
terus terjaga dari tidur lalu membaca Ratib Haddad itu dengan
serta-merta.
Setengah kaum Sayyid bercerita tentang pengalamannya: “Jika aku
tertidur ketika aku membaca Ratib sebelum aku menghabiskan bacaannya,
aku bermimpi melihat berbagai-bagai hal yang mengherankan, tetapi jika
sudah menghabiskan bacaannya, tidak bermimpi apa-apa pun.”
Di antara yang diberitakan lagi, bahawa seorang pecinta kaum Sayyid,
Muhammad bin Ibrahim bin Muhammad Mughairiban yang tinggal di negeri
Shai’ar, dia bercerita: “Dari adat kebiasaan Sidi Habib Zainul Abidin
bin Ali bin Sidi Abdullah Haddad yang selalu aku berkhidmat kepadanya
tidak pernah sekalipun meninggalkan bacaan Ratib ini. Tiba-tiba suatu
malam kami tertidur pada awal waktu Isya’, kami tidak membaca Ratib dan
tidak bersembahyang Isya’, semua orang termasuk Sidi Habib Zainul
Abidin. Kami tidak sedarkan diri melainkan di waktu pagi, di mana kami
dapati sebagian rumah kami terbakar.
Kini tahulah kami bahwa semua itu berlaku karena tidak membaca Ratib
ini. Sebab itu kemudian kami tidak pernah meninggalkan bacaannya lagi,
dan apabila sudah membacanya kami merasa tenteram, tiada sesuatupun yang
akan membahayakan kami, dan kami tidak bimbang lagi terhadap rumah
kami, meskipun ia terbuat dari dedaunan korma, dan bila kami tidak
membacanya, hati kami tidak tenteram dan selalu kebimbangan.”
Berkata Habib Alwi bin Ahmad, penulis Syarah Ratib Al-Haddad: “Siapa
yang melarang orang membaca Ratib ini dan juga wirid-wirid para salihin,
niscaya dia akan ditimpa bencana yang berat daripada Allah Ta’ala, dan
hal ini pernah berlaku dan bukan omong-omong kosong.” Berkata Sidi Habib
Muhammad bin Zain bin Semait Ba’alawi di dalam kitabnya Ghayatul Qasd
Wal Murad: Telah berkata Saiyidina Habib Abdullah Haddad: “Siapa yang
menentang atau membangkang orang yang membaca Ratib kami ini dengan
secara terang-terangan atau disembunyikan pembangkangannya itu akan
mendapat bencana seperti yang ditimpa ke atas orang-orang yang
membelakangi zikir dan wirid atau yang lalai hati mereka dari berzikir
kepada Allah Ta’ala. Allah Ta’ala berfirman: “Dan barangsiapa yang
berpaling dari mengingatiKu, maka baginya akan ditakdirkan hidup yang
sempit.” ( Thaha: 124 ) Allah berfirman lagi: “Dan barangsiapa yang
berpaling dari mengingati Tuhan Pemurah, Kami balakan baginya syaitan
yang diambilnya menjadi teman.”
( Az-Zukhruf: 36 ) Allah berfirman lagi: “Dan barangsiapa yang berpaling dari mengingat Tuhannya, Kami akan menurukannya kepada siksa yang menyesakkan nafas.” ( Al-Jin: 17)
( Az-Zukhruf: 36 ) Allah berfirman lagi: “Dan barangsiapa yang berpaling dari mengingat Tuhannya, Kami akan menurukannya kepada siksa yang menyesakkan nafas.” ( Al-Jin: 17)
(1) Dipetik dari: Syarah Ratib Haddad: Analisa Dan Komentar – karangan Syed Ahmad Smith, terbitan Pustaka Nasional Pte. Ltd.
Download Ratibul Haddad pdf klik Download
Posting Komentar